
Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Mazlan Yunos
Kemunculan Dato' Sheila Majid dengan imej bertudung dan berjubah ketika rakaman khas program Astro Oasis baru-baru ini telah mengejutkan ramai peminat dan wartawan.
Sheila tampil menyanyikan lagu untuk rancangan yang diberi nama 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan yang bakal ditayangkan pada hari raya pertama nanti.
Apabila disoal tentang perubahan imej itu, Sheila berkata, hatinya makin tergerak ke arah itu tetapi enggan berjanji atau meletakkan tarikh yang khusus bila beliau akan berbuat demikian. Dengan erti kata lain biarlah hatinya benar-benar terbuka untuk berimej muslimah.
"Alhamdulillah saya akan cuba berubah sedikit demi sedikit. Tapi saya tidak mahu berjanji pada satu tarikh tertentu dan biarlah ia datang dengan kerelaan hati. Sebenarnya, kalau anda sedar, saya tidak lagi gemar mengenakan fesyen yang dedah bahu dan paras ketiak akhir-akhir ini. Mungkin masanya hampir tiba ke arah itu (bertudung)," kata penyanyi lagu Sinaran ini.
Jangan Tak Lihat
Kata Sheila, dengan masa yang terluang di rumah sekarang, hatinya lebih gemar membaca buku-buku bercorak ilmiah dan keagamaan.
"Biarlah perkara itu tidak diperkatakan dengan terperinci. Saya tidak mahu cakap lebih-lebih kerana nanti disalahanggap pula," ujarnya dengan lembut.
Bercerita tentang aktiviti terbarunya, isteri kepada penggubah muzik Acis itu berkata dia masih sibuk memenuhi undangan nyanyian di majlis-majlis tertentu sahaja.
"Saya masih ikuti perkembangan muzik cuma bezanya, sekarang saya hanya sempat mendengar radio atau lagu apabila di dalam kereta sahaja. Kalau di rumah, saya selalu sibuk menjaga anak-anak dan suami.
Sedih melihat perkembangan muzik semasa
Kata penghibur yang telah sekian lama berjaya di Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Jepun itu, akibat kemajuan dan kecanggihan teknologi, dunia hiburan tempatan turut merasai tempiasnya kesan yang kurang memberangsangkan.
"Sekarang semua orang boleh download lagu dengan percuma. Macam mana artis, komposer, penulis lirik dan syarikat rakaman hendak cari makan? Sebab inilah juga saya belum terbuka hati hendak merakamkan lagu baru walaupun dah ada material yang bagus. Lagu yang sedia ada pun dah banyak kena download dan mujurlah ketika kemunculan saya dulu, semua ini belum berlaku.
"Saya sedar setiap penyanyi selalu cuba memberikan benda baru tetapi orang lain senang-senang 'mencurinya'. Jadi penat lelah itu tidak akan berbaloi kerana ia berkaitan dengan periuk nasi artis dan karyawan seni. Kadangkala orang cakap artis kita tak bagus - macam mana nak bagus kalau teknologi telah digunakan oleh masyarakat yang bertindak melemahkan semangat artis," katanya Sheila bersungguh-sungguh.



