Thursday, December 18, 2008

0

Rosma Terkejut Disahkan Mengandung

18-Dec-2008 | Oleh: Haswari Ali



Teks oleh Haswari Ali


KUALA LUMPUR, 18 DIS 2008: Siapa sangka, kata-kata jenaka dalam konti radio oleh deejay Radio Era FM, Reza, menjadi kenyataan buat bintang Akademi Fantasia (AF), Rosmayati Sidik, 23 atau Rosma apabila disahkan mengandung.
Ketika ditemubual murai.com.my, suami Rosmah yang juga bintang AF, Mohd Khairul Nizam Mohamad Wahi, 29, atau Khai berkata, berita mengejutkan itu cukup mengembirakan mereka suami isteri.

Khai berkata, semuanya dikenal pasti selepas pemeriksaan ringkas yang dibuat di klinik berhampiran kediaman mereka di Seri Kembangan, Selangor, malam tadi.

Bagaimanapun jelas Khai, pemeriksaan susulan yang lebih teliti akan dijalankan di hospital dalam waktu terdekat bagi memastikan kesihatan dan usia sebenar kandungan berkenaan.



"Alhamdulillah. Memang kami terlalu seronok apabila mendengar berita ini. Sebenarnya kami merancang untuk hanya memiliki cahaya mata tahun depan, tak sangka pula saat yang dinantikan itu berlaku sekarang.

"Memang masin mulut Reza dan sebagai suami, saya sudah bersedia untuk bergelar ayah," katanya yang sedang dalam perjalanan untuk menjalani latihan Sehati Berdansa 2 bagi saingan minggu ini selepas terselamat daripada tersingkir minggu lepas.

Khai berkata, dia dan Rosma terkejut apabila rata-rata pendengar memberi pendapat serupa yang menyatakan Rosma mengandung.

Menyentuh berkenaan pnyertaan mereka dalam Sehati Berdansa 2, Khai berkata tidak ada alasan untuk mereka menarik diri daripada program realiti itu memandangkan tempoh pertandingan hanya tinggal seminggu.

Kata Khai, dia dan Rosma sudahpun memaklumkan berita gembira itu kepada peserta Sehati Berdansa 2 yang ternyata turut gembira dengan perkhabaran itu.

"Semua peserta Sehati Berdansa 2 sudah tahu berita ini, tapi kami belum memaklumkan lagi kepada pihak penerbit rancangan itu. Insya-Allah dalam waktu terdekat, kami akan menghebahkan berita ini kepada pihak media lain.

"Apapun kami akan lakukan yang terbaik untuk Sehati Berdansa 2, mana tahu rezeki menyebelahi kami. Kalau itu berlaku, alhamdulillah, mungkin rezeki anak kami," katanya.

0

Rita Rudaini, Aidil Zafuan Pelakon Terbaik!

18-Dec-2008 | Oleh: Murai Batu




KL, 18 DIS 2008: Hai, kalau ada anugerah pasangan suami isteri terbaik tahun ini, Murai Batu akan serahkan trofi itu kepada Rita Rudaini Mokhtar dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak kerana mereka benar-benar hebat!

Hebatnya kerana mutu persembahan mereka benar-benar telah mengalah semua pasangan suami isteri yang bertanding dalam Sehati Berdansa 2. Bukan dahsyat dari segi tarian, tetapi dari segi lakonan cover line yang sungguh mempesonakan!

Bayangkan, sejak berbulan-bulan lamanya atau lebih tepat lagi seperti yang dilaporkan, pada 25 Februari 2008, mereka sudah pun menjadi pasangan suami isteri kerana telah bernikah di Selatan Thailand (Songkla ke?) secara senyap-senyap. Hai, patutlah bumi Thailand bergegar sakan tahun ni...

Kepada kita semua, itulah kejutan terbaru dalam dunia hiburan dan gelanggang sukan begara menjelang makin hampir tiba ke penghujung 2008.

Apa nak dikato, ayam den dah lapeh... hakikatnya, ayah dan ibu Aidil Zafuan telah membuat sidang media di Sikamat, dekat Seremban petang semalam dengan mendedahkan bahawa Aidil Zafuan dan Rita sudah berkahwin secara sorok-sorok dan selama ini hanya berlakon di depan mata keluarga sendiri yang masing-masing kononnya masih bujang.

Dulu memang pernah kecoh sekejap Rita, si janda cantik, pernah bercinta dengan Aidil Zafuan yang usianya macam adik. Murai Batu ingat gosip itu habis begitu sahaja, rupa-rupanya dalam diam-diam mereka sudah menjadi pasangan suami isteri! Baguslah tu, untuk elakkan fitnah orang.

Yalah, hati ayah dan ibu mana yang tidak terkilan apabila impian untuk melihat anak sendiri berkahwin macam orang lain adanya merisik, bertunang, berinai, akad nikah bersaksikan sanak saudara dan juga bersanding - maklumlah si pengantin lelaki baru berusia 21 tahun, kiranya masih remaja trang tang tang.

Tapi disebabkan kuat sangat penangan kasih Rita dan hembusan asmara Aidil Zafuan, mereka berdua atas alasan tertentu, sanggup membelakangkan keluarga. Difahamkan, baru-baru ini Rita sendiri ada bertemu dengan keluarga Aidil Zafuan pada 13 Disember lalu untuk mendapat pandangan tentang hubungan mereka padahal ketika itu dan pun jadi laki bini. Hai, mujurlah lepas itu kakak si Aidil Zafuan dapat hidu dan terbarailah rahsia.

Namun Murai Batu lega kerana selepas 10 bulan, Aidil akhirnya sedia memberitahu sendiri keluarganya bahawa mereka sudah lama berkahwin dan selama ini hanya hidup dalam lakonan.

Begitulah cerita kahwin artis kita tahun ini. Ada yang kahwin sorok-sorok, ada yang nak kahwin gah-gah dan ada yang dah kahwin meriah-meriah dulu tapi akhirnya minta cerai. Dunia... dunia.....

Sunday, December 14, 2008

0

Que Haidar Nikah Linda Jasmine 14 Feb 2009!

12-Dec-2008 | Oleh: Ellyna Ali



Teks oleh Ellyna Ali


KUALA LUMPUR, 12 DIS 2008: Sejak terpampangnya rakaman video ekskslusif yang menunjukkan aksi mesra Que Haidar sedang membelai rambut ikal Linda Jasmine dalam portal hiburan murai.com.my, baru-baru ini, ramai pihak tertanya-tanya status sebenar hubungan mereka sehingga ramai wartawan hiburan berusaha mendapatkan mereka.


Tujuan mereka adalah untuk mendengar pengesahan lanjut tentang hubungan cinta aktor yang berwajah keanak-anakan itu dengan guru tari program Akademi Fantasia (AF) tersebut.


Namun, Que atau nama sebenarnya Tengku Ishkan Shah Tengku Haidar, 29, masih tetap mahu mengelak daripada terus berbicara mengenai hubungan cintanya dengan wanita yang 7 tahun lebih berusia daripadanya itu (Linda, 36 tahun).


Sungguhpun begitu, dalam pertemuan murai.com.my secara eksklusif bersama Que Haidar dalam rakaman program Sehati Berdansa 2 di Astro, Bukit Jalil, malam tadi, Que akhirnya telah membuat pengakuan eksklusif bahawa dia sangat mencintai Linda Jasmine malah akan mengahwini wanita kacukan itu.


"Linda bukan saja dewasa dan pandai mengambil hati saya tetapi dia juga melayan saya dengan begitu baik serta pandai memanjakan diri saya. Kebetulan saya memang suka dimanjakan. Itulah ciri-ciri yang ada pada Linda yang membuatkan saya cukup tertarik dengannya. Masalah usia dan statusnya sebagai seorang ibu tunggal beranak satu, itu bukanlah satu penghalang.


"Kebetulan saya juga rapat dengan anak Linda dan dia boleh menerima kehadiran saya dengan baik ," kata Que sambil malu-malu.


Menurut Que lagi, dia bersyukur kerana keluarganya sangat memahami hubungannya dengan Linda.


"Mereka (keluarga) sudah berjumpa dengan Linda dan saya juga pernah membawa Linda pulang ke kampung saya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor. Malah saya juga sudah berjumpa dengan keluarga Linda. Mereka pun dapat terima kehadiran saya dalam hidup Linda.


"Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, saya akan menikah dan memperisterikan Linda pada bulan Februari tahun depan. Tarikhnya pun sudah dipilih iaitu pada Hari Kekasih - 14 Februari 2009.


"Kami juga bercadang untuk mengadakan pernikahan di Ampang, Kuala Lumpur manakala majlis resepsi perkahwinan pula berlangsung pada 15 Mac depan di kampung saya nanti, " kata Que yang kerap kali menemani Cikgu Linda yang menjalankan tugas sebagai pengkritik tetap Sehati Berdansa 2.


Jelas Que lagi, keputusan untuk mengahwini Linda telah difikirkan dengan sehabis-habisnya.


"Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami serta ayah kepada anak Linda nanti," kata Que.


Berita menggembirakan ini turut disiarkan oleh Astro Awani menerusi Gala TV mulai semalam. Nantikan juga video pengakuan pertama Que tentang Cikgu Linda yang berjaya diperoleh oleh murai.com.my.

0

Rahsia Perkahwinan Rich, Velvet Terbongkar!

12-Dec-2008 | Oleh: Murai Batu




KL, 12 DIS 2008: Dalam sibuk-sibuk bercerita tentang perkawinan artis popular, terkejut pula Murai Batu melihat foto perkahwinan yang dikirimkan peminat fanatik bekas pelajar Akademi Fantasia 4 (AF4), Rich dan Velvet. Hai, dalam diam-diam pasangan sejoli ini dah pun menjadi suami isteri pada tanggal 5 Disember lalu!


Murai Batu difahamkan, majlis ini dibuat secara rahsia di taman berhampiran sebuah ballroom. Tambah sensasi, Murai Batu difahamkan semua tetamu yang hadir tidak dibenarkan mengambil gambar. Haa, macam mana pula boleh ada gambar seperti yang kita lihat ini?


Apa kes pun, Murai Batu dapat menghidu bahwa majlis ini dihadiri kira-kira 500 orang jemputan yang terdiri dari kalangan orang ternama. Pun begitu, Murai Batu kecewa kerana tiada seorang pihak media pun dijemput membuat liputan.




Kenapa Rich dan Velvet? Setahu Murai Batu selama ini mereka tidak pernah pun berselindung tentang hubungan cinta mereka itu? Adakah mereka hendak buat surprise atau gimik?


Hakikatnya, Murai Batu mendapat jawapan dari teman baik Velvet yang turut menghadiri majlis ini.


"Sebenarnya mereka bukan nak sorok tapi mahu menghormati keputusan kedua belah keluarga. Orang tua mereka yang mahu perkara ini dirahsiakan. Mereka juga mahu merasai perkahwinan seperti orang biasa yakni bukan seperti artis. Tambahan pula, kebanyakan tetamu yang hadir semuanya orang besar-besar," kata teman baik Velvet itu.


Bagaimanapun, Murai Batu ucapkan jutaan terima kasih buat insan yang sudi mengirimkan foto cantik ini. Murai Batu bukan apa, hanya nak berkongsi dengan peminat mereka saja.


Nampak gaya, merekalah pasangan kedua AF yang berkahwin selepas Khai dan Rosma.

Thursday, December 11, 2008

0

'Saya tak culik'


Oleh Hartati Hassan Basri, Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Hadzlyhady Hassan dan Mohd Sabran Mat Sani

KUALA LUMPUR: Gempar seketika apabila polis dikatakan menjejaki artis wanita popular, Norish Karman, semalam, selepas pelakon dan penyanyi itu disyaki menyembunyikan seorang remaja perempuan di rumahnya sejak tiga minggu lalu.

Difahamkan, artis berusia 34 tahun itu dikaitkan dengan kehilangan Nadia Asherine Byrne, 14, yang hilang daripada jagaan ibunya.

Kehilangan Nadia menyebabkan ibunya mengesyaki dia disorokkan artis terbabit lalu membuat laporan polis, baru-baru ini.

Difahamkan, wanita tempatan yang berkahwin dengan warga Kanada itu mengetahui anaknya berada di rumah artis terbabit berdasarkan e-mel yang diterima kakak remaja berkenaan.


Nadia yang juga warganegara Kanada adalah anak kedua pasangan itu. Dia dilahirkan di Kanada dan mereka sekeluarga kembali ke tanah air ketika dia berusia enam tahun.

Sumber polis berkata, Nadia sebelum ini didakwa hilang daripada jagaan ibu bapanya di Country Heights, Kajang, selepas berlaku pertengkaran dengan ibunya.

Sewaktu berada di rumah Norish, Nadia sering berbalas e-mel dengan kakaknya di Kanada, sekali gus membolehkan ibunya mengetahui lokasinya berada sebelum membuat laporan polis.

“Susulan laporan itu, lima anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pergi ke rumah artis terbabit di kediaman mewah Tropicana Golf & Country Resort Damansara di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Bagaimanapun, setibanya anggota polis, artis berkenaan yang pernah memenangi anugerah pada World Championship of Performing Arts Ke-10 di Hollywood Palladium, Los Angeles, Amerika Syarikat, tiga tahun lalu, tiada di rumah,” katanya.

Pihak polis terpaksa meninggalkan rumah milik artis terbabit sambil cuba menghubunginya bagi mendapatkan bantuan.

Sejurus mengetahui Norish berada di rumah, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Zumairi Othman sekali lagi datang ke rumah artis terbabit pada jam 5.45 petang sebelum dia diminta datang ke Balai Polis Mutiara Damansara di sini.

Lima minit kemudian, Norish bersama Nadia dan neneknya, Kasmah Aziz, 58, dilihat menaiki sebuah kereta sebelum diiringi dua kereta peronda polis menuju balai polis berkenaan.

Polis mengambil keterangan Nadia kira-kira 45 minit sebelum dia diminta menunggu ibunya yang akan mengambilnya.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, seorang lelaki mendakwa bapa saudara remaja itu muncul untuk menjemputnya pulang.

Berlaku kekecohan apabila Nadia enggan mengikut lelaki terbabit sambil cuba dihalang nenek gadis itu.

Akibatnya, lelaki berusia 30-an itu diarahkan polis memberi keterangan sebelum Kasmah membuat laporan polis di balai sama.

Kasmah yang mendakwa berjiran dengan Norish membuat laporan polis pada jam 7.18 malam mendakwa Nadia menghadapi tekanan dengan sikap ibunya.

Dia mendakwa anak perempuannya yang berusia 39 tahun, pernah menghalau Nadia sebelum ini menyebabkan dia segera menyelamatkan cucunya itu.

“Ini bukan pertama kali laporan dibuat kerana Nadia terpaksa beberapa kali melarikan diri untuk mencari perlindungan. Malah, saya pernah difitnah menculik cucu sendiri,” katanya.

Wartawan Harian Metro yang berada di balai polis melihat polis membenarkan Nadia pulang bersama nenek dan Norish selepas menganggap kes terbabit selesai.

0

Dengarnya...: Tak kuasa dengan kenyataan Norman




GERAM, sakit hati.. tertipu! Panas betul hati Cik Normah setelah membaca kiriman SMS yang dihantar kawan Cik Normah bernama Mawar yang berada nun di selatan tanah air. Manalah Cik Normah tak bengang, hari itu Cik Normah terbaca cerita Normah Hakim kononnya ke Batu Pahat sebab menziarah keluarganya. Sambil-sambil itu dia turut menziarah kubur arwah kakaknya dan kebetulan berada di sana, dia ambil kesempatan melawat keluarga Memey.

Cik Normah tak kisah kalau Norman bercakap jujur. Yang buat Cik Normah panas, Norman mendakwa yang dia menziarah saudaranya. Kata si Mawar, Norman tak cakap benar. Memang dia pergi menziarah tapi bukan saudaranya tetapi saudara si Memey. Norman sebenarnya menziarah keluarga si Memey di sebuah hospital swasta di sana, Memey juga ada bersamanya ketika itu.

Nampaknya satu lagi penipuan yang si Norman dah buat. Geramnya Cik Normah kerana dulu dia menipu pasal raya apabila ditanya kenapa tak pulang beraya dengan anak-anak, alasan yang diberi bercanggah. Yang peliknya, masa dia buat kenyataan mukanya bukan main yakin lagi kata teman Cik Normah yang berjumpa dengan Norman baru-baru ini.

Teman Cik Normah pada mulanya memang susah nak percaya. Tetapi melihat muka si Norman yang bercakap penuh yakin, dia terus saja percaya. Memang dasar pelakon, pandai dia mereka cerita. Cik Normah tak kisah kerana sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Tak mengapa teruslah menipu, kita memang tak tahu, tapi Tuhan tahu kebenarannya.

Norman pun janganlah asyik nak bercinta saja, selesaikan masalah dengan Abby secepat mungkin. Bukan apa, sebagai wanita dan isteri, Cik Normah tumpang simpati dengan nasib si Abby. Macam-macam kisah tak sedap pasal Abby yang Cik Normah dengar. Pada Abby pula, sebelum buat apa-apa fikirkan masak-masak impaknya, kasihan dekat anak-anak yang masih kecil.

Wednesday, December 10, 2008

0

Simpati untuk Seri Bayu, kasihan pada Erema


Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

SEJAK minggu lalu, isu pergeseran rumah tangga penulis lirik terkenal, Seri Bayu dengan isterinya, yang juga penyanyi muda, Erema mengejutkan ramai pihak termasuk wartawan hiburan dan rakan dalam industri hiburan. Ia mengejutkan kerana selepas dua tahun mereka hidup berumah tangga akhirnya berlaku pergolakan disebabkan keadaan kehidupan yang 'terdesak'.

Ramai tidak menyangka selama ini mereka melayari kehidupan berumah tangga dengan aman damai meskipun dalam keadaan Seri Bayu uzur dan pada setiap acara hiburan Erema sering dilihat berada di sampingnya, apatah lagi beberapa kali juga saya melihat Erema setia mengiringi Seri Bayu datang ke Balai Berita. Ramai wartawan sendiri pernah terusik hati apabila melihat sendiri Erema menyuap makanan ke mulut Seri Bayu dan cukup bersabar dalam menjaga suaminya itu. Dan dalam tempoh itu juga wartawan hiburan tak pernah terdengar pun mereka bertelagah atau ada gosip mengenai keruntuhan rumah tangga mereka.

Dua tahun lalu, industri hiburan juga sebenarnya dikejutkan dengan perkahwinan mereka apabila ramai tidak menduga seorang penyanyi remaja yang masih cantik dan ada bakat seperti Erema sudi dan ikhlas untuk menerima seorang lelaki yang berstatus duda sebagai suaminya, apatah lagi Seri Bayu ketika itu menghadapi masalah kesihatan yang agak kronik kerana tidak berdaya mengurus diri sendiri dan cuma berkerusi roda.

Masa perkahwinan mereka itu, ramai menyifatkan keikhlasan Erema memang hebat kerana sudi menerima Seri Bayu seadanya dalam keadaan kurang upaya. Ramai juga memuji Erema kerana hatinya setia dan cukup ikhlas pada kekasihnya itu. Akhirnya, detik bahagia berakhir juga dan Erema akhirnya sudah tidak tertahan sabarnya lagi, lalu memfailkan tuntutan perceraian pada 1 Disember lalu dengan alasan dia sudah tidak mampu lagi untuk berkongsi hidup dengan Seri Bayu.

Beberapa kenyataan media diluahkan oleh suami isteri itu dengan saling tuduh menuduh dan saling menyalahkan satu sama lain. Di pihak yang membaca luahan hati mereka, ada yang bersimpati terhadap Seri Bayu dan ada wartawan yang rapat dengan penulis lirik itu sebak melihatkan nasibnya kerana sukar menjangkakan masa depannya jika dia hidup sendirian terutama dalam mengurus dirinya sesudah si isteri duduk berasingan.

Di satu pihak lain pula, ada yang tersedu hati dan kasihan pada Erema kerana rupa-rupanya selama ini dia terlalu banyak pendamkan rasa kecewa dan keperitan hidupnya hinggalah sampai satu peringkat kesabarannya sudah sampai pada kemuncaknya dan Erema nekad untuk menuntut cerai daripada Seri Bayu. Membaca kenyataan yang diluahkan Erema sebelum ini bagaikan sebuah kisah penderitaan yang menarik untuk dijadikan drama TV, begitu juga nasib yang menimpa Seri Bayu juga boleh diambil iktibar untuk sesiapa saja.

Meskipun isu ini sudah menjadi kes di mahkamah syariah, hakikatnya kita tidak boleh menyalahkan Seri Bayu atau Erema, biarkan mahkamah yang menentukan. Ada pihak yang menuduh Seri Bayu menjadi punca kerana banyak merahsiakan tindakannya selama ini ketika beliau sihat terutama didakwa menipu duit orang seperti mana tuduhan Erema, begitu juga dakwaan Erema bahawa suaminya itu terlalu mengongkong dirinya hingga tidak membenarkan dia bekerja untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka, selain Erema terkilan kerana si suami menuduhnya curang kerana mempunyai teman lelaki yang sering menghantarnya pulang daripada menyanyi di sebuah kelab.

Sebaliknya Seri Bayu mendakwa hasil royalti yang diterimanya dan sumbangan pihak tertentu cukup untuk menampung hidup mereka suami isteri, selain beliau mendakwa Erema sudah tidak menghormatinya, pernah memukulnya dan mengabaikan tugasnya sebagai isteri hingga ada ketikanya beliau terpaksa duduk lama di kerusi roda.

Kita tidak tahu siapa yang benar dan siapa yang silap. Kebenaran akan menjelma juga suatu hari nanti. Hanya masa yang menentukan. Cuma kita berharap Seri Bayu dan Erema usah terlalu emosional dengan membuat kenyataan yang berlebih-lebihan untuk membuka aib masing-masing hingga ada kalanya memalukan diri mereka sendiri. Dari sudut lain, Erema juga ada hak untuk menuntut cerai dan Seri Bayu juga ada hak untuk tidak mahu menceraikan isterinya. Tunggu saja kes perbicaraan mereka nanti yang dijadualkan bermula 12 Januari depan.

Akmal

0

Pierre Andre maki David Teo!


Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

David Teo dan Pierre Andre

Aktor dan pengarah muda lempar kata kesat terhadap penerbit filem

UMPAMA kacang lupakan kulit! Bagi Zubir, pepatah Melayu itu paling sesuai menggambarkan sikap ego pelakon dan pengarah yang sedang meningkat naik, Pierre Andre. Ini berikutan apabila baru-baru ini dia khabarnya menghambur penerbit Metrowealth Movie Productions (MMP), David Teo dengan kata kesat atau lebih tepat lagi tergamak memaki orang yang pernah bertanggungjawab menaikkan namanya dalam industri perfileman sehingga dia layak bergelar pengarah!

Cerita panas ini Zubir peroleh daripada seorang sumber yang bertugas di sebalik tabir penerbitan filem ketika menghadiri post party Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 November lalu.

Kata sumber itu, ketika Pierre sedang bercakap di telefon dengan David, dia mengeluarkan satu perkataan yang begitu ‘sakit’ didengar apabila berlaku pergeseran pendapat antara mereka.

Audio Pierre kepada David lebih kurang begini: “I tak tahu nak panggil you apa, David Teo atau xxxx (mencarut)!”. Ketika perbualan itu, David sempat membuka pembesar suara telefon bimbitnya dan perbualan mereka turut didengar beberapa krew yang berada bersama David ketika itu.

Tambah sumber berkenaan, hati Pierre panas apabila David mempersoalkan kegagalannya menghadiri sesi script reading filem terbaru lakonannya, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC). Berdasarkan senarai awal, selain Pierre turut membintangi filem ke-31 terbitan MMP itu ialah Lan Pet Pet, Cat Farish, Azlee Jaafar, Lisa Surihani, Zarina Zainoordin (Akademi Fantasia 2) , Dina (Malaysian Idol) dan Mas Muharni, bakat baru yang diperkenalkan menerusi filem Wayang.

“Apabila berlakunya kejadian (maki) itu, David sedih kerana artis (Pierre) yang pernah cari makan dengan produksi miliknya, tergamak mengeluarkan kata cacian terhadapnya. David terkejut kerana selama dia bergelar produser filem dan drama, belum pernah berlaku insiden seorang artis yang berkerja dalam produksi MMP, begitu berani dan sanggup memaki penerbitnya sendiri!

“Selepas kejadian itu, aku dapat tahu David benar-benar kecewa dengan sikap Pierre. Dia memberi ruang kepada Pierre berlakon dalam produksi JPBC berdasarkan persembahan cemerlangnya menerusi filem box-office MMP sebelum ini, Jangan Pandang Belakang, tapi ini balasan Pierre terhadapnya.

“Aku dapat tahu, David membuat keputusan menggugurkan nama Pierre sebagai seorang pelakon utama JPBC. Siapa penggantinya, aku kurang pasti. Aku rasa lebih baik kau tanya orang MMP sendiri,” kata sumber itu lagi.

Zubir terus menghubungi MMP untuk mendapatkan kesahihan cerita berkenaan dan alangkah terkejutnya Zubir apabila seorang jurucakap MMP mengakui bahawa apa yang berjaya Zubir teropong itu, satu kisah benar!

“Betul Zubir, Pierre pernah maki David dalam telefon. Perbualan mereka turut didengar beberapa krew lain. Pierre tak datang script reading JPBC, lalu David mempersoalkan kegagalannya itu kerana dia ada kontrak dengan kami. Disebabkan kejadian itu, kami terpaksa menggugurkan Pierre dan tempatnya diganti Shaheizy Sam iaitu adik kepada aktres popular, Zizie Izette,” jelas jurucakap berkenaan, selain menambah JPBC sudah pun memulakan penggambaran mulai 26 November lalu.

Pun begitu, Zubir akan mendapatkan penjelasan Pierre mahupun David sendiri berhubung dakwaan berkenaan. Mudah-mudahan perkara yang kelat ini dapat dijernihkan, setiap orang pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sama ada secara sedar atau tidak.

ZUBIR: Aktres muda yang membintangi filem Histeria kekwat tak bertempat apabila langsung tidak mahu menegur sekumpulan wartawan yang berada di depannya.

0

Ning Makin Susah Selepas Tiada Pengurus?

5-Dec-2008 | Oleh: Murai Batu




5 DIS 2008: Apabila sudah berkahwin dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton, kehidupan Ning Baizura pun sudah mula berubah. Ning sekarang tidak lagi pakai pengurus tapi yang nyata, mutu persembahan Ning tidak pernah merosot. Contoh yang terbaik adalah pada malam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (KLIFF 2008) lalu apabila Ning memukau tetamu asing.

Cuma dari pengurusan, Murai Batu tidak pasti adakah Ning akan mampu untuk terus bergerak sendirian selepas dia melepaskan team dulu yang diketuai oleh Venon Kedit (gambar kiri). Bukan apa, semua benda Ning terpaksa membuat segala sendiri sekarang, baik untuk urusan dengan press mahupun menyusun jadual show.



Baru-baru ini kawan Murai Batu ternampak Ning terpaksa mengendong beg besar sendiri dan berlari-lari kerana terkejarkan masa. Ning seorang diri tanpa ditemani sesiapa.

Mengapa ini terjadi? Bukankah Ning sepatutnya sudah sampai tahap untuk mempunyai pembantu sendiri? Adakah ini semua hanya sementara atau memang Ning sengaja nak berdikari?

Maklumlah, apabila nanti Ning dah berbadan dua, tentu dia makin sibuk, mana dengan nak menyanyi dengan menjaga anak dan suami lagi. Apapun all the best untuk Ning kerana Murai Batu tahu Ning kaya dengan pengalaman dan khabarnya sudah menubuhkan syarikat baru, HappeNings Sdn Bhd, Hai, sapa nak uruskan tu?



MURAI BATU: Dengar kata Vernon pula nak menguruskan pula Erra Fazira. Hai, betul ke tu?

0

Pengorbanan Terbesar Wani (Wendy Wong)

5-Dec-2008 | Oleh: Roslen Fadzil



Teks oleh Roslen Fadzil


KUALA LUMPUR, 5 DIS 2008: Pengorbanan adalah erti dan asas sambutan Hari Raya Haji atau Aidiladha bagi umat Islam di seluruh dunia. Dalam memperkatakan tentang pengorbanan manusia, pengorbanan yang terhebat tentulah yang ke arah meningkatkan ketakwaan diri kepada Allah SWT dan Islam itu sendiri.

Aidiladha tahun ini - selain menyaksikan kelahiran seorang saudara baru, superstar Michael Jackson yang telah memeluk agama Islam, November lalu - turut membawa nur yang cerah kepada pelakon dan produser Malaysia, Wendy Wong.

Wendy juga telah mengambil keputusan memeluk Islam pada 28 November lalu di kediaman rakan perjuangan produser dan penulis lirik terkenal, Habsah Hassan di Taman Tun Dr Ismail, di sini.



Wendy kemudian mengesahkan pengakuan menjadi seorang muslimah itu di Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2 Disember lalu.

"Syukurlah, impian saya selama bertahun-tahun lalu akhirnya tercapai. Saya masih mendalami Islam kerana proses pembelajaran terhadap agama ini tidak pernah selesai. Makin dipelajari makin kecil rasanya diri saya ini.

"Saya sedar untuk menukar agama dan kepercayaan bukanlah sesuatu yang mudah. Pengorbanan ini saya lakukan atas kerelaan saya sendiri, bukan atas desakan sesiapa.

"Kalau boleh mulai sekarang, anda boleh panggil nama saya sebagai Wani Wong Abdullah. Saya pilih Wani sebab bunyinya hampir dengan Wendy," katanya kepada murai.com.my, semalam.

Sementara itu Habsah ketika diwawancara oleh penulis sebentar tadi berkata, sudah lama hatinya berdetik bahawa satu hari nanti Wani akan memeluk Islam.

"Saya kenal Wani sudah berbelas tahun. Dari dulu saya selalu melihat kecenderungannya mendekati rakan-rakan muslim. Malah dia suka mengucapkan Alhamdulillah dan Insya-Allah.

"Sampai satu peringkat, saya mula bertanya secara usikan, 'Bila lagi Wendy (hendak peluk Islam)? Dia kata tunggulah, tunggulah.

"Akhirnya baru-baru ini ketika kami berbincang tentang kerjasama satu produksi drama TV, Wani menunjukkan minat yang lebih serius untuk memeluk Islam. Saya terus meminta dia berdoa siang dan malam supaya diberi lebih pertunjuk.

"Kemudian dia meminta saya merakamkan dua kalimah syahadah di dalam telefon bimbitnya supaya dia boleh menghafalnya di rumah. Selang beberapa hari, dia berjumpa saya semula dan berkata, dia sudah bersedia dan hatinya benar-benar sudah terbuka.

"Saya begitu bersyukur dan tersentuh kerana dia lakukan ini bukan atas desakan sesiapa dan keluarganya juga pun tahu. Lalu pada Jumaat 28 November, saya dan rakan terdekat serta beberapa ahli keluarga Wani berkumpul di rumah saya untuk melihat upacara melafazkan dua kalimah syahadah," kata Habsah.

Apa yang penulis harapkan, Wani Wong Abdullah akan terus diberi pertunjuk dan perlahan-lahan akan menempuh kehidupan barunya dengan tenang dan diberkati Allah SWT.

0

Apa Kes Shamsul Belasah Diana Danielle?

7-Dec-2008 | Oleh: Murai Batu



KL, 7 DIS 2008: Tentu pening kepala produser Datuk Yusof Haslam apabila terpaksa berdepan dengan beberapa masalah akhir-akhir ini, terutama menjelang penghujung 2008 yang tinggal kira-kira 3 minggu lagi saja.

Apa tidaknya, sebelum ini produksi Datuk Yusof, Gerak Khas dilanda kecoh apabila pelakon utamanya, Norman Hakim, dicekup khalwat dengan Memey, pada 31 Oktober lalu sehingga mencetuskan haru-biru.

Bukan saja isteri Norman, Abby pergi serang Norman di salah satu lokasi penggambaran siri kepolisan itu, malah Datuk Yusof juga terpaksa rombak semula barisan pelakon terbabit.

Belum reda dengan cerita Norman-Abby-Memey, timbul pula cerita membabitkan anak bujang Datuk Yusof dan isterinya, Datin Fatimah Ismail sendiri. Siapa lagi kalau bukan pelakon Evolusi KL Drift, Shamsul Yusof.



Tapi ini bukanlah pasal tangkap basah tetapi kes pergaduhan cinta Shamsul dengan kekasihnya, Diana Danielle. Yang dahsyatnya, ia bukan setakat gaduh-gaduh manja tetapi sampai Diana pergi membuat laporan polis kerana mendakwa dibelasah!

Hai, kalau sebelum ini Datuk Yusof kena siasat kes dalam Gerak Khas, sekarang dia pula kena bantu selesaikan kes polis yang sebenar membabitkan anaknya sendiri. Itulah badi Gerak Khas namanya Tok!

Murai Batu difahamkan, Diana mendakwa Shamsul telah mengasarinya ketika mereka bergaduh pada Khamis lalu. Mengikut laporan Bi-Pop hari ini, Ahad, Shamsul dikatakan telah naik angin lalu melepaskan tumbukan ke muka Diana. Nasib baik Diana sempat mengelak tapi tetap terkena kepala dan telinga Diana sampai lebam-lebam. Kalau betullah, itu sudah main kasar namanya...

Dengar kata, semuanya bermula dari satu pergaduhan kecil tapi akhirnya menjadi ribut taufan dan puting beliung! Itulah penangan darah muda yang kesudahannya membawa bencana. Tapi lepas kejadian, Shamsul akui menyesal dan rasa bersalah kerana telah bertindak di luar kawalan diri selepas satu provokasi oleh Diana. Kenapa, ada kaitan dengan soal cemburu ke?

Murai Batu difahamkan, gara-gara pergaduhan itu, Diana terus minta putuskan hubungan mereka dan Shamsul pun terpaksa akur.

Sekarang Diana berada di Jakarta dengan ibunya kerana hendak bercuti dan menenangkan fikiran. Diana memang tengah trauma. Pun begitu, Diana khabarnya menyesal dia sudah membuat laporan polis tanpa berfikir panjang.

Murai Batu harap, pada hari baik bulan baik ini, kita sama-samalah muhasabahkan diri dan janganlah hidup terlalu mengikut nafsu. Kata orang, cinta pun perlukan pengorbanan Shamsul dan Diana oi. Tapi kalau sudah main kasar, ia memanglah tak sedap. Tentu perempuan pun takut nak berkawan dengan Shamsul sebab dia jenis ringan tangan.

0

Tragedi Tanah Runtuh: Artis Sedih, Cemas!

7-Dec-2008 | Oleh: Roslen Fadzil



Teks oleh Roslen Fadzil


KUALA LUMPUR, 7 DIS 2008: Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur awal pagi semalam, Sabtu, benar-benar mengejutkan seluruh rakyat Malaysia tatkala umat Islam sedang membuat persiapan untuk menyambut Aidiladha.

Ramai pihak menghubungi murai.com.my untuk bertanyakan khabar tentang beberapa artis yang tinggal di sekitar Bukit Antarabangsa.

Malah kami juga mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan kediaman Dato' Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) dan Dato' Siti Nurhaliza di kawasan itu turut terjejas dalam malapetaka yang menggerunkan itu.

Bagaimanapun, dalam laporan akhbar hari ini, Datuk K menjelaskan bahawa kediaman beliau terselamat dari bencana alam itu walaupun terletak tidak jauh daripada tempat kejadian. Namun rumah seorang saudaranya tidak dapat diselamatkan.



Antara artis lain yang tinggal di sekitar Bukit Antarabangsa adalah Leina Hangat, Zizie Ezette, Elly Suriati, Zahid AF2, Raja Azmi Raja Sulaiman dan bintang Sehati Berdansa 2, Sasha Saidin dan suaminya, Salyo.

Pelakon remaja, Liyana Jasmay sekalipun tidak terjejas dengan kejadian itu berasa sedih kerana salah seorang mangsa terkorban, Allahyarham Shaiful Khas Datuk Shahrudin, adalah rakan sekelasnya ketika menuntut di Taman Melawati dulu.

"Saya terkejut dengan berita kematian Allahyarham Shaiful apabila terbaca laporan akhbar. Ketika di sekolah rendah dan menengah dulu Shaiful seorang pelajar yang pendiam tetapi bijak," kata Liyana.

Allahyarham Shaiful, 20, ditemui mati tertimbus oleh keluarganya dalam keadaan tangannya masih menggenggam telefon bimbit. Berdasarkan deringan telefon bimbitnya itu, Shaiful telah ditemui oleh ayahnya tanpa bernyawa lagi.

Sementara itu, pasangan Sehati Berdansa 2, Sasha dan Salyo melalui detik-detik yang sangat mencemaskan apabila terperangkap daripada jalan keluar di kawasan itu. Sasha dan keluarganya menetap di Kondominium Kyoto Garden yang terletak bersebelahan aliran tanah runtuh itu.

"Pagi semalam, saya terjaga dari tidur dan terasa panas. Saya lihat rumah kami gelap, rupanya bekalan elektrik sudah terputus. Apabila melihat telefon bimbit saya, saya hairan ada banyak sangat missed call, kebetulan telefon saya berada dalam silent mode.

"Kemudian barulah saya menerima panggilan daripada kawan saya yang menyuruh kami keluar segera dari rumah sebab ada tanah runtuh. Lalu, saya terus mengejutkan Salyo dan juga ibu bapa saya yang tinggal di unit berdekatan.

"Apabila naik ke tingkat tinggi, barulah saya tergamam melihat banyak rumah sudah tertimbus. Ketika itu saya hanya mampu menangis kerana terkejut dan sedih. Melihat keadaan yang menggerunkan itu, saya tahu mesti ada nyawa yang terkorban kerana kejadian itu berlaku ketika semua orang sedang nyenyak tidur.

"Tapi saya bersyukur kerana keluarga kami terselamat daripada bencana alam itu," kata Sasha kepada murai.com.my ketika dihubungi siang tadi.

Malah Sasha sempat merakamkan kesan tanah runtuh itu menggunakan telefon bimbitnya untuk tatapan penonton berita Astro Awani dan Sehati Berdansa 2 malam ini.

Dalam kejadian ngeri yang berlaku di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama kira-kira jam 4 pagi itu, sebanyak 14 banglo musnah diseret serta ditimbus tanah. Empat nyawa terkorban manakala 23 mangsa lain cedera dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Taman Bukit Mewah terletak kira-kira 1.5 kilometer dari tempat tragedi Highland Towers yang tumbang juga kerana tanah runtuh pada 11 Disember 1993.

Thursday, December 4, 2008

0

Amy Nikahkan Sendiri Nabila, Zaidy

2-Dec-2008 | Oleh: Razif Rosdi

Media Galeri




Teks & foto oleh Razif Rosdi


KUALA LUMPUR, 2 DIS 2008: Dengan hanya sekali lafaz, Zaidy Zailani, 27, sah menjadi suami kepada pelakon popular, Nabila Huda Suhaimi, 24. Mereka dinikahkan sendiri oleh ayah Nabila, Suhaimi A Rahman atau Amy Search. Sebaik saja lafaz akad nikah itu disahkan, Zaidy dan Nabila terus sebak lalu menitiskan air mata.

Zaidy ternyata begitu terharu. Dia tidak percaya dinikahkan sendiri oleh Amy yang selama ini seorang ikon yang begitu dihormatinya.

"Tanggungjawab saya sekarang semakin besar. Saya berjanji akan buat sebaik mungkin buat isteri saya, Nabila," ujar Zaidy.

Menambah cerita bagaimana dia mula-mula berjumpa dengan Amy, Zaidy berkata:



"Saya kenal Nabila waktu dia remaja lagi iaitu ketika usianya 18 tahun. Masa tu saya tak tahu pun dia anak kepada penyanyi Amy Search. Selepas mendapat tahu, saya terus jadi takut nak berkawan dengannya.

"Sebenarnya saya takut dengan Amy. Kali pertama jumpa Amy, saya diam seribu bahasa. Tak tahu nak cakap apa. Masa tu dia ada bagi syarat kepada saya untuk berkawan dengan Nabila," kata Zaidy.

Seterusnya, Zaidy berkata dia mula melamar Nabila ketika Nabila sedang mengerjakan umrah. Nabila pun terus beritahu tentang lamaran saya kepada ibunya di Makkah. Waktu sambutan hari lahir Papa (panggilan untuk Amy), barulah semua orang tahu kami serius dan mahu berkahwin," jelas Zaidy.

Menyokong pendapat suaminya, Nabila yang manis memakai busana dari Puri Pesona pula bercerita.

"Syukurlah dan saya gembira semuanya sudah selesai. Hubungan kami selama bertahun-tahun ini akhirnya membawa kami menjadi pasangan suami isteri yang sah. Saya juga akan cuba menjadi isteri yang bagus dan akan mengimbangkan jadual kerja saya dan rumah tangga.

"Sebenarnya saya tak rancang untuk kahwin pada usia muda. Tapi Zaidy memang cinta pertama saya. Dia boleh buat saya gelak dan banyak kenangan bersamanya. Selain itu, dia banyak bagi nasihat kepada saya," kata Nabila.

Bagaimanapun, Nabila dan Zaidy yang sibuk dengan kerjaya masing-masing masih belum merancang untuk berbulan madu. Malah, Nabila menyerahkan perancangan bulan madu ke tangan ibu dan ayahnya.

"Kami belum rancang lagi destinasi untuk bulan madu. Tapi, Nabila kalau nak bercuti, suka bawa satu famili. Nabila akan bincang dulu dengan Papa. Mungkin tahun depan baru kami pergi. Tahun ini pun kami memang sibuk sangat. Cuti saya dengan Zaidy berbeza tarikhnya.

Bagaimana pula tentang anak?

"Anak? Saya memang sudah bersedia untuk menimang cahaya mata bila-bila masa saja. Kalau boleh saya nak ramai baby - nak banyakkan lagi keturunan kami," jelas Nabila dengan penuh girang.

Apa pun, majlis pernikahan yang berlansung di Masjid Wilayah Persekutuan ini dipenuhi sanak-saudara dari kedua-dua belah pihak selain rakan artis seperti Hattan dan Kat Mentor. Selain itu, ibu kandung Nabila, Farida Fadzil, turut hadir bersama menyaksikan pernikahan anaknya itu.

Nabila menerima wang hantaran sebanyak RM22,222.22 dan mas kahwin RM80. Pihak pengantin lelaki pula menyerahkan 7 dulang hantaran berbalas 9 dari pengantin perempuan.

Hantaran lelaki adalah senaskah Al-Quran, telekung, minyak wangi & kosmetik, kasut, sepasang persalinan, barang penjagaan tubuh, kek dari Blooming Cake House.

Pihak perempuan pula menyerahkan kasut & tali pinggang, kemeja & tali leher, minyak wangi & barang penjagaan badan, Baju Melayu, songket, Al-Quran, sejadah, coklat dan kek dari Blooming Cake House.

0

Gerak Khas: Norman Keluar, Abby Masuk...

1-Dec-2008 | Oleh: Murai Batu




KL, 1 DIS 2008: Ketika majlis post party Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (KLIFF 2008), Sabtu lalu, Murai Batu terserempak Datuk Yusof Haslam di meja koktel. Dah berjumpa itu, Murai Batu terus tanya produser The Six Million Dollar Man itu tentang perkembangan siri Gerak Khas terbitannya itu.


Soalan cepumas: Betul ke Norman dah digugurkan dan benarkah Abby Abadi dimasukkan balik?


"Ya begitulah perkembangannya, tapi Norman bukan digugurkan, cuma saya rehatkan supaya dia dapat menyelesaikan kemelut masalah yang sedang dihadapinya itu.


"Untuk pengetahuan semua, Abby akan dinaikkan pangkat jadi ASP Aleeza. Terus terang, cadangan untuk masukkan Abby balik bukan sebab offer simpati atau atas desakan sesiapa, tapi ia sudah difikirkan sebelum kes khalwat
Jangan Tak Lihat
» Kenapa Fazli Zainal Makin...
» Gerak Khas: Norman Keluar...
» Apabila Shah Rukh Khan Ta...
» DJ Radio Tak Sensitif Bah...
» Adakah Memey, Norman Diga...

Norman dan Memey lagi," kata Yusof sambil menjamah hidangan.


Pengarah dan produser terkenal itu juga menafikan kepada Murai Batu bahawa dia tidak pernah membuang Abby daripada produksi Gerak Khas seperti yang digosipkan.


"Norman dan Abby itu dah macam anak-anak saya sendiri. Saya bukannya kejam. Abby mengundur diri dulu sebab dia nak tumpukan lebih perhatian kepada rumah tangganya.


"Abby dah bersama Gerak Khas selama 9 tahun dan Norman pula 6 tahun. Saya dah masak sangat dengan perangai mereka. Cuma saya harap masyarakat berilah ruang kepada mereka untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka itu kerana saya pun ingin melihat mereka bahagia macam dulu," kata Yusof.


Jadi dengan penjelasan itu, Murai Batu harap peminat semua akan berpuas hati dengan kedudukan Abby dan Norman dalam Gerak Khas. Murai Batu difaham, menerusi satu sumber lain bahawa rating untuk Gerak Khas sudah jatuh gara-gara kes Norman berkhalwat itu.


Apabila ditanya perkara itu kepada Datuk Yusof, jawapan dia.... "No comment."

0

Amy Sedih, Terharu Melepaskan Nabila

3-Dec-2008 | Oleh: Haswari Ali