
Teks oleh Roslen Fadzil
KUALA LUMPUR, 5 DIS 2008: Pengorbanan adalah erti dan asas sambutan Hari Raya Haji atau Aidiladha bagi umat Islam di seluruh dunia. Dalam memperkatakan tentang pengorbanan manusia, pengorbanan yang terhebat tentulah yang ke arah meningkatkan ketakwaan diri kepada Allah SWT dan Islam itu sendiri.
Aidiladha tahun ini - selain menyaksikan kelahiran seorang saudara baru, superstar Michael Jackson yang telah memeluk agama Islam, November lalu - turut membawa nur yang cerah kepada pelakon dan produser Malaysia, Wendy Wong.
Wendy juga telah mengambil keputusan memeluk Islam pada 28 November lalu di kediaman rakan perjuangan produser dan penulis lirik terkenal, Habsah Hassan di Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Jangan Tak Lihat
Wendy kemudian mengesahkan pengakuan menjadi seorang muslimah itu di Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2 Disember lalu.
"Syukurlah, impian saya selama bertahun-tahun lalu akhirnya tercapai. Saya masih mendalami Islam kerana proses pembelajaran terhadap agama ini tidak pernah selesai. Makin dipelajari makin kecil rasanya diri saya ini.
"Saya sedar untuk menukar agama dan kepercayaan bukanlah sesuatu yang mudah. Pengorbanan ini saya lakukan atas kerelaan saya sendiri, bukan atas desakan sesiapa.
"Kalau boleh mulai sekarang, anda boleh panggil nama saya sebagai Wani Wong Abdullah. Saya pilih Wani sebab bunyinya hampir dengan Wendy," katanya kepada murai.com.my, semalam.
Sementara itu Habsah ketika diwawancara oleh penulis sebentar tadi berkata, sudah lama hatinya berdetik bahawa satu hari nanti Wani akan memeluk Islam.
"Saya kenal Wani sudah berbelas tahun. Dari dulu saya selalu melihat kecenderungannya mendekati rakan-rakan muslim. Malah dia suka mengucapkan Alhamdulillah dan Insya-Allah.
"Sampai satu peringkat, saya mula bertanya secara usikan, 'Bila lagi Wendy (hendak peluk Islam)? Dia kata tunggulah, tunggulah.
"Akhirnya baru-baru ini ketika kami berbincang tentang kerjasama satu produksi drama TV, Wani menunjukkan minat yang lebih serius untuk memeluk Islam. Saya terus meminta dia berdoa siang dan malam supaya diberi lebih pertunjuk.
"Kemudian dia meminta saya merakamkan dua kalimah syahadah di dalam telefon bimbitnya supaya dia boleh menghafalnya di rumah. Selang beberapa hari, dia berjumpa saya semula dan berkata, dia sudah bersedia dan hatinya benar-benar sudah terbuka.
"Saya begitu bersyukur dan tersentuh kerana dia lakukan ini bukan atas desakan sesiapa dan keluarganya juga pun tahu. Lalu pada Jumaat 28 November, saya dan rakan terdekat serta beberapa ahli keluarga Wani berkumpul di rumah saya untuk melihat upacara melafazkan dua kalimah syahadah," kata Habsah.
Apa yang penulis harapkan, Wani Wong Abdullah akan terus diberi pertunjuk dan perlahan-lahan akan menempuh kehidupan barunya dengan tenang dan diberkati Allah SWT.



0 comments:
Post a Comment