Wednesday, December 10, 2008

Simpati untuk Seri Bayu, kasihan pada Erema


Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

SEJAK minggu lalu, isu pergeseran rumah tangga penulis lirik terkenal, Seri Bayu dengan isterinya, yang juga penyanyi muda, Erema mengejutkan ramai pihak termasuk wartawan hiburan dan rakan dalam industri hiburan. Ia mengejutkan kerana selepas dua tahun mereka hidup berumah tangga akhirnya berlaku pergolakan disebabkan keadaan kehidupan yang 'terdesak'.

Ramai tidak menyangka selama ini mereka melayari kehidupan berumah tangga dengan aman damai meskipun dalam keadaan Seri Bayu uzur dan pada setiap acara hiburan Erema sering dilihat berada di sampingnya, apatah lagi beberapa kali juga saya melihat Erema setia mengiringi Seri Bayu datang ke Balai Berita. Ramai wartawan sendiri pernah terusik hati apabila melihat sendiri Erema menyuap makanan ke mulut Seri Bayu dan cukup bersabar dalam menjaga suaminya itu. Dan dalam tempoh itu juga wartawan hiburan tak pernah terdengar pun mereka bertelagah atau ada gosip mengenai keruntuhan rumah tangga mereka.

Dua tahun lalu, industri hiburan juga sebenarnya dikejutkan dengan perkahwinan mereka apabila ramai tidak menduga seorang penyanyi remaja yang masih cantik dan ada bakat seperti Erema sudi dan ikhlas untuk menerima seorang lelaki yang berstatus duda sebagai suaminya, apatah lagi Seri Bayu ketika itu menghadapi masalah kesihatan yang agak kronik kerana tidak berdaya mengurus diri sendiri dan cuma berkerusi roda.

Masa perkahwinan mereka itu, ramai menyifatkan keikhlasan Erema memang hebat kerana sudi menerima Seri Bayu seadanya dalam keadaan kurang upaya. Ramai juga memuji Erema kerana hatinya setia dan cukup ikhlas pada kekasihnya itu. Akhirnya, detik bahagia berakhir juga dan Erema akhirnya sudah tidak tertahan sabarnya lagi, lalu memfailkan tuntutan perceraian pada 1 Disember lalu dengan alasan dia sudah tidak mampu lagi untuk berkongsi hidup dengan Seri Bayu.

Beberapa kenyataan media diluahkan oleh suami isteri itu dengan saling tuduh menuduh dan saling menyalahkan satu sama lain. Di pihak yang membaca luahan hati mereka, ada yang bersimpati terhadap Seri Bayu dan ada wartawan yang rapat dengan penulis lirik itu sebak melihatkan nasibnya kerana sukar menjangkakan masa depannya jika dia hidup sendirian terutama dalam mengurus dirinya sesudah si isteri duduk berasingan.

Di satu pihak lain pula, ada yang tersedu hati dan kasihan pada Erema kerana rupa-rupanya selama ini dia terlalu banyak pendamkan rasa kecewa dan keperitan hidupnya hinggalah sampai satu peringkat kesabarannya sudah sampai pada kemuncaknya dan Erema nekad untuk menuntut cerai daripada Seri Bayu. Membaca kenyataan yang diluahkan Erema sebelum ini bagaikan sebuah kisah penderitaan yang menarik untuk dijadikan drama TV, begitu juga nasib yang menimpa Seri Bayu juga boleh diambil iktibar untuk sesiapa saja.

Meskipun isu ini sudah menjadi kes di mahkamah syariah, hakikatnya kita tidak boleh menyalahkan Seri Bayu atau Erema, biarkan mahkamah yang menentukan. Ada pihak yang menuduh Seri Bayu menjadi punca kerana banyak merahsiakan tindakannya selama ini ketika beliau sihat terutama didakwa menipu duit orang seperti mana tuduhan Erema, begitu juga dakwaan Erema bahawa suaminya itu terlalu mengongkong dirinya hingga tidak membenarkan dia bekerja untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka, selain Erema terkilan kerana si suami menuduhnya curang kerana mempunyai teman lelaki yang sering menghantarnya pulang daripada menyanyi di sebuah kelab.

Sebaliknya Seri Bayu mendakwa hasil royalti yang diterimanya dan sumbangan pihak tertentu cukup untuk menampung hidup mereka suami isteri, selain beliau mendakwa Erema sudah tidak menghormatinya, pernah memukulnya dan mengabaikan tugasnya sebagai isteri hingga ada ketikanya beliau terpaksa duduk lama di kerusi roda.

Kita tidak tahu siapa yang benar dan siapa yang silap. Kebenaran akan menjelma juga suatu hari nanti. Hanya masa yang menentukan. Cuma kita berharap Seri Bayu dan Erema usah terlalu emosional dengan membuat kenyataan yang berlebih-lebihan untuk membuka aib masing-masing hingga ada kalanya memalukan diri mereka sendiri. Dari sudut lain, Erema juga ada hak untuk menuntut cerai dan Seri Bayu juga ada hak untuk tidak mahu menceraikan isterinya. Tunggu saja kes perbicaraan mereka nanti yang dijadualkan bermula 12 Januari depan.

Akmal

0 comments: