Wednesday, December 10, 2008

Tragedi Tanah Runtuh: Artis Sedih, Cemas!

7-Dec-2008 | Oleh: Roslen Fadzil



Teks oleh Roslen Fadzil


KUALA LUMPUR, 7 DIS 2008: Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur awal pagi semalam, Sabtu, benar-benar mengejutkan seluruh rakyat Malaysia tatkala umat Islam sedang membuat persiapan untuk menyambut Aidiladha.

Ramai pihak menghubungi murai.com.my untuk bertanyakan khabar tentang beberapa artis yang tinggal di sekitar Bukit Antarabangsa.

Malah kami juga mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan kediaman Dato' Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) dan Dato' Siti Nurhaliza di kawasan itu turut terjejas dalam malapetaka yang menggerunkan itu.

Bagaimanapun, dalam laporan akhbar hari ini, Datuk K menjelaskan bahawa kediaman beliau terselamat dari bencana alam itu walaupun terletak tidak jauh daripada tempat kejadian. Namun rumah seorang saudaranya tidak dapat diselamatkan.



Antara artis lain yang tinggal di sekitar Bukit Antarabangsa adalah Leina Hangat, Zizie Ezette, Elly Suriati, Zahid AF2, Raja Azmi Raja Sulaiman dan bintang Sehati Berdansa 2, Sasha Saidin dan suaminya, Salyo.

Pelakon remaja, Liyana Jasmay sekalipun tidak terjejas dengan kejadian itu berasa sedih kerana salah seorang mangsa terkorban, Allahyarham Shaiful Khas Datuk Shahrudin, adalah rakan sekelasnya ketika menuntut di Taman Melawati dulu.

"Saya terkejut dengan berita kematian Allahyarham Shaiful apabila terbaca laporan akhbar. Ketika di sekolah rendah dan menengah dulu Shaiful seorang pelajar yang pendiam tetapi bijak," kata Liyana.

Allahyarham Shaiful, 20, ditemui mati tertimbus oleh keluarganya dalam keadaan tangannya masih menggenggam telefon bimbit. Berdasarkan deringan telefon bimbitnya itu, Shaiful telah ditemui oleh ayahnya tanpa bernyawa lagi.

Sementara itu, pasangan Sehati Berdansa 2, Sasha dan Salyo melalui detik-detik yang sangat mencemaskan apabila terperangkap daripada jalan keluar di kawasan itu. Sasha dan keluarganya menetap di Kondominium Kyoto Garden yang terletak bersebelahan aliran tanah runtuh itu.

"Pagi semalam, saya terjaga dari tidur dan terasa panas. Saya lihat rumah kami gelap, rupanya bekalan elektrik sudah terputus. Apabila melihat telefon bimbit saya, saya hairan ada banyak sangat missed call, kebetulan telefon saya berada dalam silent mode.

"Kemudian barulah saya menerima panggilan daripada kawan saya yang menyuruh kami keluar segera dari rumah sebab ada tanah runtuh. Lalu, saya terus mengejutkan Salyo dan juga ibu bapa saya yang tinggal di unit berdekatan.

"Apabila naik ke tingkat tinggi, barulah saya tergamam melihat banyak rumah sudah tertimbus. Ketika itu saya hanya mampu menangis kerana terkejut dan sedih. Melihat keadaan yang menggerunkan itu, saya tahu mesti ada nyawa yang terkorban kerana kejadian itu berlaku ketika semua orang sedang nyenyak tidur.

"Tapi saya bersyukur kerana keluarga kami terselamat daripada bencana alam itu," kata Sasha kepada murai.com.my ketika dihubungi siang tadi.

Malah Sasha sempat merakamkan kesan tanah runtuh itu menggunakan telefon bimbitnya untuk tatapan penonton berita Astro Awani dan Sehati Berdansa 2 malam ini.

Dalam kejadian ngeri yang berlaku di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama kira-kira jam 4 pagi itu, sebanyak 14 banglo musnah diseret serta ditimbus tanah. Empat nyawa terkorban manakala 23 mangsa lain cedera dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Taman Bukit Mewah terletak kira-kira 1.5 kilometer dari tempat tragedi Highland Towers yang tumbang juga kerana tanah runtuh pada 11 Disember 1993.

0 comments: