Wednesday, November 19, 2008

Jet Peribadi Ashraf, Bunga Diserbu Media

Teks oleh Ellyna Ali
Foto oleh Bonie Sharif


SUBANG, 11 NOV 2008: Pasangan selebriti Malaysia-Indonesia yang baru saja mendirikan rumahtangga, Ashraf Daniel Sinclair, 29, dan Bunga Citra Lestari, 25, selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dengan menaiki jet peribadi kira-kira jam 4.55 petang tadi.


Jet peribadi yang dinamakan The Grace itu adalah kepunyaan usahawan Indonesia yang kaya-raya iaitu Oesman Sapta yang juga pemilik kepada penerbangan tambang murah Lion Air Indonesia. Oesman yang juga bapa kepada rakan baik Bunga memberikan tajaan penerbangan tersebut sebagai hadiah perkahwinan buat Ashraf-Bunga.


Ashraf dan Bunga yang tiba bersama entourage mereka termasuklah penyanyi Singapura, Syed Azmir serta Sazzy Falak dan suaminya, Nazril kelihatan gembira sebaik saja menjejakkan kaki di lapangan tersebut.

Mereka juga kelihatan cukup bangga sekali mengenakan kemeja-t yang bertulis, Just Married! Apa yang lebih menarik, sebuah kereta mewah Rolls-Royce sedia menanti pasangan mempelai itu di perkarangan lapangan terbang terbabit.


"Saya sangat gembira dengan perkahwinan kami ini. Saya juga sangat senang sekali apabila dapat mempersuamikan Ashraf. Dia seorang lelaki yang hebat dan menjaga saya dengan cukup baik sekali.


"Tapi memandangkan kami masih lagi mempunyai 2 majlis resepsi yang perlu dilakukan di sini, maka kami masih lagi belum dapat menikmati mood sebagai pasangan suami isteri yang sebenar," katanya Bunga kepada murai.com.my.


Mengulas tentang majlis perkahwinanya yang telah dilabel sebagai Wedding of The Year di Jakarta, penyanyi seksi yang terkenal dengan lagu berjudul Engkar ini memberitahu, apa yang diimpikannya hanya sebuah perkahwinan yang terbaik.


"Atas sebab itu, segala perancangan telah dilakukan sejak awal lagi dan saya menyerahkan tugasan itu kepada mereka yang lebih pakar dalam soal-soal yang berkaitan dengan majlis perkahwinan.


"Tidak sangka juga bila ramai yang menggelarkan ia sebagai Wedding of The Year. Rasa seronok bila mendapat maklum balas yang sebegitu. Tetapi konsep garden party yang dipenuhi dengan bunga-bungaan yang segar serta berwarna lembut hasil dekorasi Lotus itu memang menjadi pilihan saya, " katanya yang telah memilih Rina Gunawan sebagai Wedding Planner.



Bunga Nafi hamil atau gugurkan anak!


Bunga turut mengulas tentang gosip yang mengatakan dia ketika ini sedang hamil sebagaimana yang telah diuar-uarkan pihak media di Indonesia sebelum ini.


"Sebetulnya berita ini telah tesebar sejak 3 bulan yang lalu. Saya sendiri tidak mengerti mengapa mereka (pihak media) di sana berbuat begitu. Saya tidak tahu apa motif sebenar mereka.


"Setiap kali ada artis wanita yang mahu mendirikan rumahtangga di sana, mereka pasti akan menyebarkan cerita tentang gosip artis itu sedang hamil. Kalau betul saya hamil, tidak mungkin perut saya sampai sekarang begini saja.


"Seperkara lagi, saya masuk hospital bukan disebabkan saya gugurkan anak. Wartawan sendiri tahu saya pergi hospital itu kerana penyakit usus besar dan mereka boleh periksa rekod penyakit saya.


"Apapun saya sudah lali dengan gosip seperti ini. Saya juga tidak mahu ambil pusing dengan apa yang mereka tulis tentang saya," katanya.


Ashraf pohon maaf atas kelewatan


Sementara itu Ashraf pula memohon maaf kepada pihak wartawan tempatan yang sudah hampir 3 jam menunggunya di lapangan Terbang Subang sejak jam 1.30 petang lagi.


"Saya minta maaf sangat-sangat di atas kelewatan ini. Apa yang berlakunya sebenarnya langsung tidak disengajakan dan ia berpunca daripada saya sendiri apabila visa saya menghadapi masalah kerana tarikh tempohnya sudah tamat sejak 8 November lalu.


"Kalau hendak diikutkan, memang saya boleh pulang dengan visa yang telah tamat tarikh tempohnya itu. Perkara itu tiada masalah dan pihak imigresen di sana memang membenarkan.


"Tapi sekiranya saya pulang begitu saja , saya tidak akan dibenarkan masuk semula ke Indonesia lagi. Jadi, mahu tidak mahu terpaksalah saya pergi ke imigresen di sana semula untuk memproses serta memperbaharui visa saya pada masa itu juga.


"Proses tersebut ternyata memakan sedikit masa dan sebab itu kita bertolak agak agak sedikit lambat iaitu kira-kira jam 2.45 (waktu Jakarta)," katanya.


Ashraf juga mengakui bahawa dia kini berasa tertekan kerana terpaksa memastikan bahawa segala-gala berjalan lancar di majlis resepsi yang dikendalikan di sebelah pihaknya.


"Sebelah pihak perempuan sudah pun selesai. Kini giliran pihak saya pula. Memang terasa sungguh tekanan ini. Tapi saya rasa seronok sebab dapat melalui budaya yang pelbagai di majlis persandingan saya.


"Waktu di Jakarta, majlis persandingannya di buat dengan penuh adat istiadat Minang. Di majlis resepi saya yang pertama nanti, ia akan berkonsepkan English Wedding, manakala majlis resepsi yang kedua pula penuh dengan adat-istiadat Melayu.


Sementara itu Sazzy selaku teman rapat Ashraf pula berkata, dia sangat gembira dengan perkahwinan Ashraf.


"Sepanjang mengenalinya, saya tahu macam-macam yan telah dilaluinya. Akhirnya dia berjaya juga memperisterikan seseorang yang cukup dicintainya. Melihat dia melafazkan akad nikah dengan hanya sekali saja, ia membuatkan saya rasa cukup terharu. Saya juga sentiasa doakan yang terbaik untuk perkahwinannya," kata Sazzy.

0 comments: