Wednesday, November 19, 2008

Majlis Resepsi Ashraf-Bunga Meriah

15-Nov-2008 | Oleh: Roslen Fadzil

Media Galeri




Teks oleh Roslen Fadzil


SUBANG, 15 NOV 2008: Sesudah melangsungkan pernikahan di Jakarta, Indonesia, pada 8 November 2008 lalu, pasangan Ashraf Daniel Sinclair, 29, dan Bunga Citra Lestari, 25, mengadakan pula majlis resepsi dari pihak pengantin lelaki di Hotel The Saujana Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.


Majlis itu berlangsung di ballroom hotel berkenaan dan dihadiri kira-kira 400 tetamu daripada kalangan saudara mara mereka, rakan artis, pihak media dan juga kerabat diraja Selangor. Tidak ketinggalan hadir membuat liputan adalah sekumpulan media cetak dan elektronik dari Indonesia.


Tepat jam 8.40 malam, pasangan merpati itu berarak masuk ke dalam dewan sambil diiringi muzik backpipes yang dimainkan oleh sekumpulan pelajar Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur, bersesuaian dengan tema Inggeris untuk majlis anjuran Beyond Events itu. Ini tidak menghairankan kerana Ashraf sendiri berdarah kacukan Inggeris-Melayu.


Ashraf mengenakan sut rekaan Bon Zainal sementara Bunga pula memperagakan gaun putih bersama hiasan fabrik kepala ciptaan Sikie dari Jakarta. Turut bergaya adik beradik Ashraf iaitu Adam, Aishah serta ayah mereka, Mohamed Sinclair Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Mat Sinclair.


Selepas bacaan doa selamat, pasangan pengantin itu terus memotong kek 3 tingkat di atas pentas sebagai mengikut adat sebenar masyarakat Inggeris dan sesudah itu barulah semua tetamu menikmati hidangan nasi minyak dengan lauk pauk Melayu yang lazat.


Majlis itu dihoskan oleh 2 rakan karib Ashraf iaitu Sazzy Falak dan Kid yang turut mengusik mempelai dengan melakonkan semula babak percintaan mereka di dalam telefon.


Sambil menikmati hidangan, tetamu dihiburkan dengan persembahan artis jemputan iaitu Ilyka, Syed Azmir dan Ferhad. Malah Ashraf dan Bunga juga sudi berduet di pentas dan mendapat tepukan gemuruh. Antara artis lain yang kelihatan adalah M Nasir, Marlia Musa dan Jehan Miskin selain orang kuat Media Prima, Datuk Seri Farid Ridzuan.


Malam ini, Sabtu, mereka berdua akan mengadakan satu lagi majlis resepsi pula untuk saudara mara serta rakan terdekat dalam tema budaya Melayu. Tidak dinafikan Ashraf dan Bunga kelihatan begitu ceria dan bahagia sepanjang majlis berlangsung.


Berbanding dengan Kuala Lumpur, majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Sultan, Senayan, Jakarta pada 9 November lalu hari lebih gemilang kerana dihadiri kira-kira 2,000 tetamu dan memilih tema Adat Minang. Namun majlis di sana dilangsungkan dalam suasana berdiri ala koktel seperti mana kebiasaan majlis perkawinan masyarakat Indonesia.

0 comments: