Saturday, November 15, 2008

Mawi, Ikin nikah penghujung Zulhijjah?

Oleh Akmal Abdullah

NAMPAKNYA cerita artis kahwin terus jadi buruan media massa terutama di kalangan wartawan hiburan. Namun, tahun ini sehingga sebelum Ramadan, belum ada cerita artis kahwin yang benar-benar menggemparkan walaupun ramai juga artis kahwin terutama pada Ogos lalu. Cuma, kisah Maya Karin berkahwin dengan pemuda Inggeris, Steven atau Muhammad Ali yang mendapat perhatian agak lebih dari kalangan peminat dunia hiburan tetapi majlis yang dibuatnya tidaklah sampai pada tahap digelar Wedding of the Year apatah lagi dia bernikah di Itali.

Kini, media massa dan peminat lebih bertumpu pada cerita cinta penyanyi popular negara, Mawi dengan pelakon dan juga model, Ikin yang khabar sedang bertiup kencang mengatakan mereka pasti akan melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini, iaitu selepas berakhirnya sambutan Aidilfitri dan sebulan Syawal.

Memang Mawi dan Ikin bijak bermain teka teki tetapi pihak media massa semakin dapat menghidu cerita persiapan perkahwinan mereka apatah lagi mereka sudah mula memberi sedikit gambaran mengenai dan beberapa kenyataan Mawi juga menambahkan lagi kesahihan, bahawa pasangan itu akan menaiki pelamin tidak lama lagi.

Pada awalnya, Mawi dan Ikin memang cuba mengelak untuk media massa tahu mengenai hubungan cinta mereka tetapi mereka akhirnya akur bahawa cerita sebegitu sukar untuk disembunyikan apatah lagi nak dirahsiakan kerana orang di sekeliling mereka yang tahu mengenai perkara ini tentunya akan terlepas cakap dan membisikkan kepada orang lain dalam industri hiburan dan akhirnya sampai juga ke telinga wartawan.

Namun, mereka tidaklah begitu berdolak dalik seperti pasangan lain yang hendak berkahwin terutama suatu ketika dulu kecoh mengenai gosip cinta Datuk K dengan Siti Nurhaliza yang asyik menafikan hubungan mereka dan akhirnya tup-tup mereka buat sidang media mengakui akan bersatu sebagai suami isteri.

Begitu juga beberapa pasangan selebriti lain yang sebelum ini ternyata memang sedang bercinta dan hendak berkahwin tetapi dengan muka selamba mereka ini boleh menafikan mereka akan berkahwin sedangkan persiapan sudah dilakukan. Ada pula artis yang berkahwin secara rahsia dan senyap hingga sanggup tidak mahu media merakam foto pernikahan mereka, selain ada artis yang tidak mahu ceritakan siapa pasangan rumah tangganya dan kesudahannya mereka bercerai.

Kisah Mawi dan Ikin akan berkahwin sebenarnya semakin diketahui orang dalam industri hiburan kerana pasangan itu kini sedang rancak membuat persiapan dan khabarnya mereka akan menghadiri kursus nikah pada hujung Oktober atau awal November ini, diikuti persiapan di rumah Mawi dan Ikin bermula pertengahan November dan awal Disember. Sudah tentu tarikh yang menyaksikan detik bersejarah Mawi dan Ikin bakal menaiki pelamin masih menjadi persoalan dan ramai meneka mereka akan bernikah pada Disember juga sebab ia adalah musim cuti persekolahan dan begitu sesuai pada detik itu.

Apapun tarikhnya, berkemungkinan besar Mawi dan Ikin bernikah ialah sekitar pertengahan Disember ini iaitu sebelum sambutan Krismas dan cuti awal Muharram pada 29 Disember ini. Namun, sumber dalam industri hiburan mengatakan Mawi dan Ikin bakal diijabkabulkan pada satu tarikh menjelang hujung bulan Zulhijjah ini, iaitu bulan akhir dalam kalendar Islam. Tunggu dan lihat saja nanti.

Akmal

0 comments: