Tuesday, February 10, 2009

Ayah Dakwa Mas AF2 Telah Diperdaya

8-Feb-2009 | Oleh: Ellyna Ali



Teks oleh Ellyna Ali


KUALA LUMPUR, 8 FEB 2009: "Mas tidak gila. Dia hanya menerima tekanan perasaan akibat masalah peribadi yang dihadapinya bersama teman lelakinya. Macam-macam yang Mas cerita tapi selama berkawan dengan lelaki itu, Mas mendakwa dia telah diperdaya serta dipergunakan sehingga tidak menyedari apa yang telah berlaku," kata ayah Mas, Ghani Gibie, 69, selepas menemui Mas di Wad Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur, petang semalam.


Kenyataan Ghani itu dimaklumkan kepada kakitangan pihak Maestro Talent & Management, Othman Mahmood atau Man Bangla. Ghani selamat tiba di Kuala Lumpur tengah hari semalam selepas diterbangkan dari Tawau, Sabah dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia bagaimanapun enggan menemui pihak wartawan buat masa ini.



Man berkata, ayah Mas itu hanya akan sedia bertemu wartawan sekiranya dia mendapat lebih banyak penjelasan daripada Mas sendiri berhubung kemelut itu. Selain itu, Ghani juga tidak membenarkan teman lelaki Mas, Rock atau nama sebenarnya, Shahrul Mohd Shahril bertemu Mas buat masa ini.


Kata Man lagi: "Cukuplah dulu buat masa ini. Kami juga perlukan masa untuk meneliti perkara ini. Tapi apa yang boleh saya katakan, Mas kini berada dalam keadaan yang sihat serta OK. Dia juga tidak ditempatkan di wad yang sama dengan pesakit jiwa yang lain. Sebaliknya, dia ditempatkan di bilik rawatan bagi pesakit tekanan emosi biasa."


Man berkata, Mas bagaimanapun terkejut apabila membaca laporan berita tentang dirinya dalam media yang dianggap sudah diputarbelitkan.


"Mas berkata banyak perkara yang dilaporkan tidak benar kerana dia tidak pernah memberikan kenyataan seperti yang didakwa oleh temannya itu (Rock)," kata Man lagi.

Sehubungan itu, bintang Akademi Fantasia (AF) kelahiran Tawau, Sabah ini akan mengadakan sidang media khas untuk membuat penjelasan berhubung segala kekusutan yang melandanya.


Tentang misteri kerugian sebanyak RM20,000 selepas ditipu seseorang sebagaimana yang dilaporkan Mas di Balai Polis Ampang, baru-baru ini, ia juga akan terjawab dalam sidang media itu nanti.

0 comments: