Friday, November 21, 2008

Efiezal Gembira Ayah (Rusdi) Berkahwin

18-Nov-2008 | Oleh: Ellyna Ali



Teks oleh Ellyna Ali


KUALA LUMPUR, 18 NOV 2008:
Tidak semua anak mampu terima hakikat sekiranya ibu atau bapa mereka akan berkahwin lagi dengan pasangan baru masing-masing. Lebih-lebih lagi selepas ibu bapa mereka sudah sekian lama menjanda atau menduda untuk tempoh waktu yang cukup lama.


Sungguhpun begitu, perkara tersebut tidak begitu dirasai oleh anak teruna Rusdi Ramli, Efiezal Ridza Rusdi, 18. Sebaliknya, Efiezal mengakui cukup gembira apabila bapanya itu mengambil keputusan untuk berkahwin dengan komposer Sharon Paul Abdullah, 32.


"Saya rasa gembira dia (bapa) kahwin. Saya juga gembira apabila dia memilih Auntie Sharon. Bagi saya, Auntie Sharon seorang yang baik, caring dan selalu ambil berat tentang diri saya.




"Lagipun sudah 15 tahun bapa saya menbujang. Jadi, tidak kisahlah kalau bapa hendak kahwin dengan siapapun. Lagipun, saya rasa dah sampai waktunya untuk dia berkahwin.


"Saya tidak pasti selepas ini saya hendak panggil Auntie Sharon apa. Tapi, sebelum mereka berkahwin, bapa saya memang selalu bawa saya berjumpa dengan Auntie Sharon," katanya yang mewarisi wajah kacak Rusdi.


Efiezal yang berkerja di sebuah syarikat korporat di ibu negara berkata, ibunya yang juga sudah sekian lama menjanda turut mengetahui tentang keputusan ayahnya itu untuk berkahwin.


"Dia tidak cakap apa apapun. Tapi saya rasa ibu pun tak kisah. Walaupun mereka sudah sekian lama berpisah tapi ada ketikanya mereka masih lagi berhubungan. Malah, saya juga sering kali berulang-alik menetap di rumah mereka," katanya.


Ditanya sama ada dia mahu mengikut jejak langkah bapanya untuk menjadi seorang pelakon, Efiezal yang masih lagi kelihatan malu-malu mengakui bahawa dia masih lagi belum bersedia.


"Bapa memang pernah tanya saya hendak berlakon atau tidak. Tapi, tengoklah macam mana dulu," katanya.


Nama Rusdi diberikan oleh Tan Sri P Ramlee!



Sementara itu, bapa Rusdi iaitu Ramli Ismail atau dikenali sebagai Ramlee Kecik, 67, pula berkata, dia sebenarnya bersyukur apabila dikurniakan seorang anak lelaki seperti Rusdi atau panggilan manjanya, Boy.


"Sebab sepanjang dia membabitkan diri dalam bidang ini, Boy tahu menjaga nama baik sebagai seorang pelakon serta nama baik keluarga. Tidak pernah ada gosip buruk yang mengaitkan namanya.


"Saya juga gembira apabila Boy akhirnya bertemu jodoh dengan Sharon. Walaupun mereka dari aliran seni yang berbeza iaitu lakonan dan muzik, tapi saya lihat ada keserasian di antara mereka berdua.


"Lagipun, waktu kecil-kecil dulu, Boy memang suka sangat bermain gitar. Walaupun sudah jadi pelakon, saya rasa minatnya terhadap bidang muzik tidak pernah padam," katanya yang sudah bercerai dengan ibu Rusdi, Norlia Ghani sejak tahun 1980-an lagi.


Barangkali itulah tuahnya nama Rusdi yang telah diberikan sendiri oleh Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee sewaktu Norlia melahirkan anak sulung mereka pada tahun 1970.


Waktu itu saya dan Norlia tinggal menetap bersama P Ramlee. Bila habis saja penggambaran filem Dr Rushdi, Norlia yang ketika itu sedang sarat telah melahirkan Rusdi. Saya beritahu P Ramlee, saya tak cukup duit nak bayar bil hospital. P Ramlee terus beri saya RM200. P Ramlee juga tanya saya apakah saya sudah meletakkan nama bayi itu?


"Saya cakap belum lagi. Sejenak kemudian P Ramlee seperti berfikir. Akhirnya dia beritahu saya supaya lberikan nama Rusdi Ramli supaya kalau besar nanti anak saya itu boleh jadi anak wayang," kata Ramli yang juga adik angkat P Ramlee.

Sementara itu, ibu kepada Sharon iaitu Lucia Paul, pula berkata, dia sangat gembira dengan perkahwinan anaknya.


"Anak saya nampak begitu cantik sekali. Saya juga gembira apabila dia memilih Rusdi sebagai suaminya. Saya yakin Rusdi akan dapat menjaga anak saya dengan seelok-eloknya. Saya juga berharap perkahwinan mereka akan kekal hingga ke akhir hayat mereka," kata Lucia.

0 comments: